PERNAHKAH ENGKAU TAHU....DAN AMBIL TAHU...????
SALAM PAGI JUMAAT.....SEBELUM MULAKAN TUGAS MARI KITA BERSELAWAT DAN BERZIKIR.....
OK SEMALAM ISRAJ MIKRAJ , DAN KITA SEBAGAI SEORANG ISLAM WAJIB TAHU APA ITU PERISTIWA ISRAJ MIKRAJ KERANA IANYA SUATU MALAM YANG PALING BESAR DI ANTARA MALAM.....
SO ZUHA NAK BERKONGSI DENGAN FRENZ YANG SETIA MEMBACA BLOG ZUHA INI HAL KEAGAMAAN SIKIT KALAU SEBELUM INI KITA BANYAK MEMBINCANGKAN PASAL KEHIDUPAN DUNIA ......AMBIL LA SEDIKIT MASA INI DAN MUNGKIN TAK SAMPAI 10 MINIT PUN KITA BACA.....
ZUHA AMBIL PERKONGSIAN INI DARI USTAZ AZMAN KETUA jABATAN sYARIAH TEMPAT KERJA ZUHA......
SO BACA YA........
Hikmah &
Pengajaran Israk Mikraj
Bulan Rejab
kian hampir melabuhkan tirainya. Maka semakin terasa dekatnya pertemuan dengan
bulan mulia lagi penuh rahmat, iaitu Ramadan al-mubarak. Namun, di penghujung
Rejab yang mulia ini, kita terpanggil untuk merenung sejenak peristiwa yang
besar dan bermakna bagi seluruh umat. Peristiwa yang dimaksudkan itu ialah
peristiwa Israk Mikraj yang menakjubkan.
Israk dan
Mikraj adalah dua peristiwa yang amat besar dan luar biasa yang dialami oleh
Nabi Muhammad SAW dan dianggap sebagai satu penganugerahan yang tinggi nilainya
dari segi kerohanian. Kedua-dua peristiwa itu adalah kurnia Allah SWT kepada
baginda untuk memperlihatkan tanda keagungan dan kekuasaan-Nya.
Sungguhpun
peristiwa luar biasa yang terjadi setahun sebelum Nabi Muhammad SAW berhijrah
ke Madinah itu mustahil dapat dijangkau oleh alam pemikiran manusia, namun kita
selaku umat Islam wajib percaya dan meyakini bahawa Israk Mikraj yang ditempuhi
serta dialami oleh Nabi Muhammad SAW adalah benar dan berlaku dengan roh dan
jasadnya sekali. Segala-galanya boleh berlaku dengan kehendak dan kekuasaan
Allah selaku Pencipta dan Pentadbir alam semesta.
Israk bererti
perjalanan Nabi SAW dari Masjidilharam di Mekah ke Masjidil Aqsa di Baitul
Maqdis di Palestin. Peristiwa ini terakam di dalam Al-Quran, sepertimana firman
Allah yang bermaksud :
“Maha Suci
Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari
Masjidil-Haraam (di Mekah) ke Masjidil-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati
sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan
kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar lagi Maha
Mengetahui.” (Q.S. Al-Israa’: 1).
Sementara itu,
Mikraj pula merujuk kepada perjalanan baginda SAW dari Masjidil Aqsa ke
Sidratulmuntaha di langit ketujuh, dekat singgahsana Allah SWT sepertimana yang
digambarkan oleh Al-Quran yang bermaksud:
“Dan demi
sesungguhnya! (Nabi Muhammad) telah melihat (malaikat Jibril dalam bentuk
rupanya yang asal) sekali lagi di sisi “Sidratul-Muntaha”; yang di sisinya
terletak syurga “Jannatul-Makwa”. (Nabi Muhammad melihat Jibril dalam bentuk
rupanya yang asal pada kali ini ialah) semasa “Sidratul-Muntaha” itu diliputi
oleh makhluk-makhluk dari alam-alam ghaib, yang tidak terhingga. Penglihatan
(Nabi Muhammad) tidak berkisar daripada menyaksikan dengan tepat (akan
pemandangan yang indah di situ yang diizinkan melihatnya), dan tidak pula
melampaui batas. Demi sesungguhnya ia telah melihat sebahagian dari
sebesar-besar tanda-tanda (yang membuktikan luasnya pemerintahan dan kekuasaan)
Tuhan-Nya.” (Q.S. An-Najm: 13-18).
Oleh itu,
Israk Mikraj dapat disimpulkan sebagai satu perjalanan kilat Nabi Muhammad pada
malam hari atas kudrat dan iradat Allah dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa,
kemudian naik ke langit sampai ke Sidratul Muntaha, bahkan ke Mustawa dan
sampai di bawah Arasy Allah (suatu tempat di mana alam ini diatur) dengan
menembusi tujuh lapis langit, lalu kembali semula ke Makkah pada malam yang
sama.
Salah satu
inti penting daripada peristiwa Israk dan Mikraj ialah perintah solat yang
diterima Nabi SAW di Sidratulmuntaha. Pada mulanya Allah SWT memberi perintah
supaya mengerjakan solat 50 waktu sehari semalam. Tatkala bertemu dengan Nabi
Musa Alaihi Salam di langit keenam, Muhammad SAW menceritakan perintah yang
diterimanya daripada Allah. Lalu Nabi Musa menyarankan agar baginda kembali
menghadap Allah SWT untuk memohon keringanan, dengan alasan bahawa umatnya
tidak akan sanggup melaksanakan solat 50 waktu itu. Disebabkan terlalu
sayangkan umatnya, Nabi SAW menerima saranan itu. Ia pun kembali menghadap
untuk memohon keringanan. Permohonan itu berulang sampai 9 kali hinggalah Allah
SWT mengabulkannya dengan mengurangi waktu solat menjadi hanya 5 kali sehari
semalam.
Adapun
waktu-waktu solat yang telah ditentukan itu ialah Subuh, Zohor, Asar, Maghrib
dan Isya. Waktu mengerjakan solat berkenaan diterangkan dengan jelas di dalam
Al-Quran, sepertimana firman Allah yang bermaksud :
“Dan
dirikanlah sembahyang itu pada kedua tepi siang (pagi dan petang) dan pada
bahagian permulaan daripada malam. Sesungguhnya perbuatan yang baik itu
menghapuskan (dosa) perbuatan-perbuatan yang buruk. Itulah
peringatan-peringatan bagi orang-orang yang ingat.” (Q.S. Hud: 114).
Bulan Rejab
tahun ke-11 dari kerasulan baginda SAW, disifatkan oleh ahli sejarah sebagai
‘Amulhuzn’ (tahun dukacita) bagi Rasulullah. Ini berikutan dengan dua musibah
berturut-turut yang menimpa baginda, iaitu kehilangan dua insan tersayang
berikutan kewafatan Khadijah, isteri baginda yang tercinta, yang kemudian
disusuli pula dengan pemergian bapa saudara baginda, Abu Thalib, yang banyak
melindunginya daripada ancaman kaum kuffar Quraisy.
Musibah yang
menimpa itu berpengaruh besar terhadap diri Rasulullah. Lantas Nabi merasakan
ruang untuk pergerakan dakwah di kota Makkah semakin sempit dan keselamatan
diri turut terancam. Keadaan yang sedemikian mendorong Rasulullah untuk
berpindah ke Thaif dengan harapan agar penduduknya menerima seruan dan bersedia
membantu perjuangannya. Malangnya, segala harapan baginda hancur berkecai
kerana penduduk Thaif bukan saja tidak mahu memberi perlindungan kepada Nabi,
malah Nabi dicaci, dihina hatta dianiaya.
Lalu,
Rasulullah kembali semula ke Makkah dengan perasaan hampa tanpa hasil. Dan
dalam hal keadaan menanggung kesedihan dan kehampaan, Allah menganugerahkan
Israk Mikraj, yang antara lain bertujuan menghibur dan mempertebal iman Nabi
SAW.
Berdasarkan
kepada peristiwa Israk Mikraj, kita memperolehi pelbagai pengajaran berharga
yang terkandung di dalamnya untuk direnungi serta dihayati. Antara pengajaran
berguna tersebut ialah:
1. Manusia
harus sentiasa mengadakan hubungan dengan Allah, baik di kala ditimpa kesusahan
mahupun di kala mendapat kesenangan. Ini kerana hanya Allah yang berkuasa
memberikan pertolongan, menghilangkan segala kesedihan, dukacita dan kesusahan
pada diri manusia. Sebagaimana yang diceritakan, Nabi telah ditimpa beberapa
musibah sebelum terjadi Israk Mikraj. Dalam keadaan demikian, datang perintah
untuk Israk Mikraj, iaitu untuk berhadapan dengan Allah swt. Ini memberi
pengajaran kepada kita agar mendekatkan diri kepada Allah sewaktu didatangi
musibah dan pelbagai permasalahan dalam kehidupan. Caranya ialah dengan
melaksanakan semua perintah-Nya dan menjauhi semua larangan-Nya di samping
terus meningkatkan ketakwaan dan amal ibadat.
2. Menjauhi
perkara mungkar dan maksiat. Semasa Israk Mikraj, tepatnya sewaktu Nabi diajak
meninjau keadaan neraka, baginda ditunjukkan berbagai bentuk penyeksaan dahsyat
yang sedang dialami oleh berbagai kaum sebagai akibat daripada segala macam
bentuk kejahatan yang pernah mereka lakukan. Misalnya Nabi diperlihatkan kepada
satu kaum yang memecahkan sendiri kepala mereka dengan batu besar, setelah
pecah ia kembali bertaut seperti sediakala. Nabi juga melihat bentuk penyeksaan
yang lain seperti seksaan bagi pemakan riba, penzina, pengumpat, yang suka
memfitnah dan lain-lain lagi. Ini semua memberi iktibar supaya kita yang hidup
di dunia ini tidak melakukan segala perbuatan tercela itu dan juga pekerjaan
lain yang jelas dilarang Allah kerana begitulah seksaan yang bakal diterima
oleh seseorang di akhirat nanti sekiranya perbuatan yang dilarang Allah itu
dilakukan.
3. Perintah
solat sebagai suatu bentuk ibadah yang Allah sendiri menggariskan ketentuan
mengenainya. Kewajipan solat berbeza dengan kewajipan yang lain seperti puasa,
zakat dan haji. Ini adalah kerana kewajipan solat diterima langsung oleh Nabi
daripada Allah sewaktu bertemu Allah pada malam Mikraj tanpa perantaraan
malaikat Jibrail. Ini menunjukkan keistimewaan dan kelebihan solat berbanding
ibadah-ibadah lain, dan solat juga amalan yang paling awal dihisab di akhirat
kelak. Dengan solat, kita berpeluang untuk berdialog langsung dengan Allah,
iaitu ketika bersolat.
4. Mengakui
dan tunduk kepada kebesaran Allah sebagai pencipta agar keyakinan terhadap
kekuasaan-Nya benar-benar bersemi di jiwa manusia. Ini kerana sewaktu Israk
Mikraj, Allah memperlihatkan kepada Nabi akan keagungan dan berbagai keajaiban
ciptaan-Nya yang terdapat di alam tinggi bernama langit itu seperti Sidratul
Muntaha, syurga dan lain-lain lagi.
5. Anjuran
memberi salam. Di sepanjang perjalanan Mikraj, Nabi tidak pernah lupa
mengucapkan salam kepada rasul yang baginda temui. Ini mengingatkan kita kepada
keutamaan memberi salam dan galakan supaya selalu memberi salam kepada saudara
sesama Islam sebagai tanda penghormatan dan untuk mengeratkan hubungan.
Israk Mikraj
merupakan mukjizat yang tidak diberikan kepada nabi-nabi yang lain. Justeru
itu, Pelbagai pengajaran berharga yang terkandung di dalamnya hendaklah
direnung dan dihayati supaya ianya dapat membantu memberikan nilai tambah dalam
kehidupan, baik dalam usaha meningkatkan ketakwaan dan prestasi ibadah kepada
Allah mahupun untuk peningkatan ilmu pengetahuan, terutama dalam menghadapi
cabaran globalisasi masa kini. Firman Allah yang bermaksud :
“Dan tidaklah
Kami mengutus rasul-rasul sebelummu (wahai Muhammad), selain dari kalangan
orang lelaki yang Kami wahyukan kepada mereka. Oleh itu bertanyalah kamu kepada
orang yang berpengatahuan agama jika kamu tidak mengetahui.”
keep reading, with luv from azuha
Comments